Selasa, 18 Oktober 2016


Ulama Nusantara: Generasi Penerus Perkembangan Islam di Nusantara (8)


SYEKH MUHAMMAD NAFIS AL-BANJARI

Nama beliau sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya, al-Durr al-Nafis ialah Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Hussein al-Banjari (al-Banjari 1927: 2), dan al-Banjari itu nisbah kepada negeri Banjar. Beliau lahir sekitar tahun 1148H/1735M, di Kota Martapura, Kalimantan Selatan, Indonesia. Beliau berasal daripada keluarga bangsawan atau kesultanan Banjar. Silsilah dan keturunannya dikatakan bersambung sehingga Sultan Suriansyah (1527-1545M). Justeru, ada yang mengatakan silsilah lengkapnya adalah Muhammad Nafis bin Idris bin Husien bin Ratu Kasuma Yoeda bin Pangeran Kesuma Negara bin Pangeran Dipati bin Sultan Tahlillah bin Sultan Saidullah bin Sultan Inayatullah bin Sultan Mustain Billah bin Sultan Hidayatullah bin Sultan Rahmatullah bin Sultan Suriansyah. Beliau hidup semasa tiga pemerintahan Sultan Banjar, iaitu Sultan Tahlilullah XIV (1707-1745M), Sultan Tamjidullah XV (1745-1778M) dan Sultan Tahmidullah XVI (1778-1808M).
Beliau dikatakan juga hidup sezaman dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Ini disebabkan kerana kedua-duanya pernah belajar di Makkah dan Madinah. Beliau juga ialah pengikut mazhab Syafi’i, berhaluan Ahli Sunnah wal Jamaah dengan mengikuti Imam Abu Hassan al-Asy‘ari dan bertarekat dengan pelbagai tarekat yang muktabar seperti Qadariyyah (disandarkan pada Syeikh ‘Abdulqadir al-Jilani), Syattariyyah (Sheikh Abdullah asy-Syattari), Naqsyabandiyyah mengikuti aliran Baha’uddin al-Naqsyabandi, al-Khalwatiyyah atau juga dikenali sebagai Anfasiyyah dan akhir sekali Samaniyyah yang dibawa oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samani al-Madani.
Semenjak kecil, Syeikh Muhammad Nafis memang sudah menunjukkan bakat dan kecerdasan yang tinggi jika dibandingkan dengan teman-teman sebayanya. Bakat dan kecerdasan yang dimilikinya ini membuatkan Sultan Banjar tertarik sehingga mengantarkan Nafis al-Banjari belajar dan mendalami ilmu-ilmu agama Islam di Makkah. Nafis al-Banjari telah belajar dengan para ulama yang terkenal, baik yang menetap mahupun yang kadangkala menziarahi dan mengajar di al-Haramayn (Makkah dan Madinah) dalam pelbagai cabang ilmu keIslaman, seperti Tafsir, Fiqh, Hadis, Usuluddin, dan Tasawuf.
Dalam semua bidang ilmu yang dipelajarinya tersebut, bidang tasawuf amat digemarinya. Justeru, beliau telah menghabiskan banyak masanya dengan mendalami kitab-kitab tasawuf dan berguru dengan guru-guru tasawuf. Antara guru sufinya ialah Syeikh Abdullah bin Hijazi al-Sharqawi (1150- 1227H/1737-1812M), Sheikh Siddiq bin ‘Umar Khan, Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim as-Samani al-Madani, Syeikh ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdulaziz al-Maghribi dan Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Jauhari. Di samping itu, terdapat juga guru-guru lain yang menjadi guru kepada Nafis al-Banjari, iaitu Syeikh Yusuf al-Aruzi al-Misri dan Sheikh Yusuf Abu Dharrah al-Misri.
Selepas beliau begitu mahir dalam ilmu tasawuf dengan menyertai pelbagai tarekat tasawuf dan menguasai ilmu tasawuf, beliau telah diberi ijazah atau kebenaran daripada guru-gurunya untuk mengajar ajaran Islam dan membimbing ilmu tasawuf kepada masyarakat Islam. Kebenaran ini sekali gus melayakkan beliau digelar dengan gelaran ‘Syeikh’ dan murshid kerana kebolehannya dalam bidang tarekat sufi dan furu‘nya, serta telah diberi gelaran kehormatan, yaitu Maulana al-‘Allamah al-Fahhamah al-Murshid ila Tariqah Salamah.
Karya-karya Muhammad Nafis al-Banjari: Al- Durrun Nafis (mutiara yang indah), membicarakan tentang akidah, tasawuf dan tarekat, Majmu’ul Asrar li Ahlillahil Athyar, membicarakan tentang ilmu tasawuf. Nafis al-Banjari telah memainkan peranan penting dalam proses kemajuan dan penyebaran Islam di Pulau Kalimantan bersama-sama dengan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Hal tersebut bermula ketika beliau kembali ke Nusantara, iaitu pada tahun 1210 H/1795. Pada ketika itu, sultan yang memerintah Banjar ialah Sultan Tahmidillah (Raja Islam Banjar XVI, 1778-1808 M). Namun begitu, Nafis al-Banjari tidak berada lama di sana karena beliau tidak suka kepada kekuasaan yang senantiasa menggodanya dan tambahan lagi, urusan perkembangan Islam di sekitar Martapura dan Banjar sudah dilakukan oleh Syeikh Muhammad Arsyad dengan terbinanya pusat-pusat pendidikan Islam.  Pada tahun 1526, kerajaan Banjar telah menjadikan Islam sebagai agama utama dan agama resmi kerajaan.

                                                                                 
 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar